Jumaat, 9 Disember 2011

AKHLAK BERMAIN

             Islam adalah agama yang "syumul". Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Justeru dalam segala aspek Islam telah menetapkan perturan-peraturan dalam kehidupan umat manusia. Allah SWT dan Rasulullah, sentiasa menggalakkan agar umat manusia berakhlak mulia dalam apa jua yang dilakukan. Sehinggakan dalam permainan pun, telah digariskan adab-adab yang wajib dipatuhi.

            Adab yang perlu diamalkan dalam permainan terbahagi kepada tiga iaitu, sebelum, semasa dan selepas permainan.

1. ADAB SEBELUM BERMAIN
  • Bersalam-salaman.
  • Memahami peraturan permainan.
  • Pilih tempat yang sesuai.
  • Pastikan alat permainan selamat.
2. ADAB SEMASA BERMAIN
  • Menutup aurat.
  • Berkerjasama.
  • Mengawal emosi.
  • Bersemangat kesukanan.
Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan 
dan sentiasa mengamalkan semangat kesukanan

3. ADAB SELEPAS BERMAIN
  • Menerima keputusan pengadilan.
  • Tidak berdendam
  • Bermaaf-maafan.
  • Menyimpan alat permainan.
 4. HIKMAH BERADAB KETIKA BERMAIN
  • Dapat menambah kenalan.
  • Melatih disiplin.
  • Mengeratkan hubungan.
  • Melahirkan sifat sabar.
  • Menyayangi peralatan permainan.
  • Memupuk sikap kerjasama dan toleransi.

 
 Bermain dapat memupuk sifat berkerjasama
5. LARANGAN KETIKA BERMAIN
  • Melanggar peraturan pertandingan.
  • Tingkah laku kurang sopan.
  • Tiada semangat berpasukan.
  • Berdendam.
 
Elakkan mandi di dalam air pada waktu hujan lebat kerana merbahaya.
6. AKIBAT MENGABAIKAN ADAB KETIKA BERMAIN
  • Mengganggu permainan.
  • Menimbulkan pergaduhan dan permusuhan.
  • Melemahkan semangat kesukanan.
  • Mencemarkan maruah diri.


LATIHAN

A) Nyatakan "BETUL" atau "SALAH" pada pernyataan yang berikut.

1. Ahmad bersalam-salaman dengan pemain lawan. _____________

2. Selepas dikasari, Faiz menepuk bahu pemain lawan sambil memberi amaran. ____________

3. Apabila pengadil memberhentikan permainan di hadapan pintu gol, Farhan menjerit dengan kuat tanda 

    membantah. ____________

4. Hakim berseluar panjang ketika bermain bola sepak. ____________


B) Penuhkan tempat kosong dengan perkataan yang betul.

    (alat)     (kenalan)    (hubungan)     (berdisiplin)       (sikap)

1.  Mematuhi adab ketika bermain akan dapat menambah ________________ serta mengeratkan ______________ antara kedua-dua pihak.

2. ________________permainan tidak mudah rosak jika dijaga dengan baik. 

3. Mengamalkan adab bermain akan melahirkan pelajar yang ______________.

Khamis, 3 November 2011

MANISNYA SOLAT

Solat mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam iaitu antara lain seperti berikut:
  • Kalimah "solat" dalam al-Quran diulang sebanyak 117 kali. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan seharian seorang Muslim dan Muslimah yang beriman kepada Allah s.w.t.
  • Solat difardhukan secara langsung ketika Nabi s.a.w menghadap kehadrat Allah 'Azza wa Jalla, berbeza dengan ibadah-ibadah lain hanya melalui perutusan Jibril. Ini sebagai satu bukti betapa solat sebagi ibadah yang paling utama.
  • Solat ibadah utama kerana dengannya seseorang hamba menumpukan sepenuh hati dan pemikiran serta jiwa raganya melakukan pengabdian kepada Allah.
  • Solat sebagai zikrullah atau mengingati Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: "Dirikanlah solat kerana mengingati Aku".
  • Solat yang dilakukan dengan khusyuk maka menjadikan si pelakunya seolah-olah mi'raj menghadap ke hadrat Allah, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Solat itu mi'raj bagi seorang Mukmin."
  • Pernyataan  bahawa diri kita hina di sisi Allah, sehingga kita sanggup rukuk dan sujud , kedua-dua ini dilakukan kecuali hanya untuk Allah.
  • Mengagungkan dan membesarkan Allah melalui pengucapan, hati dan perbuatan.
  • Berikrar bahawa solat kita, ibadah kita, hidup dan mati kita hanya untuk Allah.
  • Memuji dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat kurniaanNya yang tidak terhingga.
  • Memohon keampunan atas segala dosa yang dilakukan.
  • Memohon hidayah dan pelbagai kurniaan yang baik kepada kita di dunia dan di akhirat.
  • Menerusi solat juga kita memohon perlindungan dihindarkan daripada apa-apa jua keburukan di dunia dan azab yang pedih di akhirat.

Kaabah adalah kiblat orang-orang Islam


 KATEGORI SOLAT
Solat Fardhu: Iaitu wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah memenuhi syarat-syarat sebagai Mukallaf/ Mukallafah.
Solat Fardhu Berjamaah

Solat Fardhu kifayah: Iaitu solat jenazah yang wajib dilakukan oleh sebahagian penduduk islam di sesebuah kawasan (kampung/taman dan sebagainya) sekalipun hanya dua tiga orang. Tetapi sebaik-baiknya jarang kurang daripada 40 orang kerana dengan demikian memberi pertolongan kepada si mayat. Solat jenazah lebih mudah daripada solat biasa kerana tidak ada rukuk.

Menziarahi Kubur dan berdoa untuk arwah adalah sunat


Solat Sunat : Iaitu solat yang elok dilakukan untuk mendapat tambahan pahala dan pelbagai fadhilat (keutamaan). Jenis solat ini terlalu banyak dan akan dijelaskan satu-persatu pada siri-siri selepas ini.

Allah menyukai hamba yang berdoa dengan bersungguh-sungguh

Syarat-syarat Mukallaf/ Mukallafah itu ada enam perkara:
  1. Islam
  2. Baligh ( genap umur 15 tahun ; atau lebih awal daripada itu jika telah ihtilam menyebabkan keluar mani; atau khusus bagi wanita berusia 9 tahun dan telah keluar haid).
  3. Berakal
  4. Suci daripada haid dan nifas
  5. Sejahtera mata dan telinga; tidak wajib solat atas orang yang buta dan tuli sejak lahir atau sebelu mumaiyiz
  6. Sampai seruan Islam kepadanya

" SOLAT ITU TIANG AGAMA" 

TAJUK : SOLAT JUMAAT

Pengertian Solat Jumaat:
* Solat dua rakaat yang dilakukan secara berjamaah pada waktu zuhur hari Jumaat di masjid atau di tempat tertentu dengan didahului dua khutbah.
Hukum Solat Jumaat:
* Hukum solat jumaat fardhu Ain ke atas setiap lelaki muslim yang cukup syarat.

Dalil:
Firman Allah Taala

يَأَيُهَاالَّذِينَ اَمَنُوآ اِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوةِ مِنْ يَومِ الجُمُعَةِ فَاسْعَواْ اِلَى ذِكْرِ أللهِ
(Surah Al-Jumaah ayat :9)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diseru untuk menunaikan solat jumaat maka hendaklah kamu segera mengingati Allah( solat jumaat).

Lafaz niat:

 أُصُلِّى فَرْضَ الجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْماً لِلهِ تَعَالَى

 Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu jumaat dua rakaat tunai makmum kerana Allah Taala.
Syarat Wajib
  1. Islam
  2. Lelaki
  3. Baligh
  4. Berakal
  5. Bermastautin
  6. Tidak uzur
  7. Merdeka
Syarat Sah
  1. Dilakukan secara berjamaah
  2. Pada waktu zuhur
  3. Jemaah sekurang-kurangnya 40 orang lelaki
  4. Di tempat yang ditentukan seperti masjid
  5. Didahului dengan dua khutbah
    Sunat sebelum solat jumaat
    1. Mandi
    2. Memotong kuku
    3. Berpakaian bersih
    4. Memakai bau-bauan
    5. Datang awal ke masjid
    6. Solat sunat tahiyatul masjid
    7. Iktikaf
    8. Membaca al-Quran
    9. Berselawat dan berzikir
    Larangan ketika khutbah
    1. Bercakap
    2. Bermain
    3. Melakukan perkara-perkara yang mengganggu khatib dan jemaah yang lain

    Hikmah
    1. Lambang perpaduan umat
    2. Mengukuh persaudaraan islam
    3. Membuktikan ketaatan kepada Allah
    4. Bertukar-tukar fikiran
    5. Mendengar nasihat 
    LATIHAN
    A)Isikan tempat kosong dengan perkataan yang diberikan.
     
    /Khutbah/ Jumaat/ dua rakaat/ tertentu/ zuhur /

    Solat Jumaat ialah solat __________ berjamaah dalam waktu __________ pada hari _____________ di masjid atau tempat __________ dengan didahului dua ___________

    AKHLAK KEPADA IBU BAPA


     
    Sekadar renungan bersama..........
    ANAK SOLEH

    Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : "Redha Allah  bergantung pada redha kedua ibu-bapa, dan murka Allah bergantung kepada murka kedua-dua ibu bapa."

    Riwayat Al-Hakim

    Pengajaran Hadis:
    • Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggung jawab selepas mereka meninggal dunia.
    Tanggungjawab semasa masih hidup
    • Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan ialah sentiasa berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.
    Tanggungjawab setelah meninggal dunia
    • Manakala apabila kedua-dua ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa, menziarahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturrahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
    Doa untuk ibu bapa:

    اَلَّلهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا

    Maksudnya: Wahai tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua ibu bapaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku semasa kecil.


    Rumusannya            
    • Sesungguhnya bagi setiap anak meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang dehaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk dalam kalangan dosa-dosa besar.

    AKHLAK WANITA SEJATI




          Didedikasikan buat puteri-puteriku.......(murid-murid SKTP)

           Akhlak mulia merupakan asas keperibadian kita. Jika kita telah mempunyai akhlak yang baik, maka segala aktiviti kehidupan kita menjadi lebih baik dan utama. Sebaliknya jika kita tidak mempunyai akhlak yang baik, maka kita akan hilang segala-galanya, dan kehidupan ini tidak terlalu bererti untuk kehidupan kita. Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  
    "Kebajikan ialah akhlak yang baik"
                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

           Ketika Rasulullah SAW menerangkan kemuliaan akhlak maka baginda pun bersabda bermaksud :  "Orang yang paling aku cintai dan yang terdekat denganku pada hari kiamat adalah yang terbaik akhlaknya."                                                                                                                      
                                                                                                                                                                                             (Riwayat Bukhari)


            Akhlak yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW di antaranya ialah:

    1.  Mempunyai  sifat sabar

         Hendaklah mempunyai sifat sabar, dengan tetap berpegang kepada ketaatan mengerjakan segala yang baik dengan tanpa jemu. Kemudian menjauhkan segala yang bersifat buruk, maksiat, khianat, berbohong, sombong, menipu, membanggakan diri serta tidak puas dalam menerima ketentuan dan takdir daripada Allah SWT.

    2. Memaafkan orang lain


        Senang memaafkan orang lain, serta menjauhkan diri daripada perkataan dan perbuatan yang tidak sopan, merupakan akhlak yang terpuji. Tidak membalas keburukan dengan keburukan pula, tetapi lebih suka membalas keburukan itu dengan kebaikan. Jika mereka berkata-kata dengan kata yang kasar, maka balaslah dengan kata-kata yang bagus sehingga dapat menyentuh jiwa mereka.
       
       Maksud Firman Allah SWT:

      " Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." 
                                                                                                                                                                                       (Al-A'raaf : 199)


       Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:

      " Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia." 
                                                                                                                                       (Fusshilat : 34)

    3. Mempunyai sifat pemalu

       Sifat pemalu sebahagian daripada iman, kerana sifat ini merupakan dinding yang menghalang seseorang untuk melakukan pekerjaan yang berdosa secara lebih mudah. Jika kaum wanita tidak lagi mempunyai sifat pemalu dan harga diri, maka ia akan menjadi wanita yang lebih mudah melakukan pekerjaan yang berdosa daripada pekerjaan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Memiliki perasaan malu itu akan mendatangkan kebaikan terhadap diri muslimah. Oleh itu, wanita akan sentiasa menjaga perkataannya, memakai pakaian yang menutup aurat dan sebagainya.

    4. Menjadi orang yang pemurah hati

       Muslimah yang sejati akan mempunyai sifat pemurah hati, agar dirinya menjadi orang yang berbudi luhur dan mempunyai keperibadian yang mulia. Ia boleh bersedekah dengan menggunakan hartanya atau suaminya sekiranya telah berkahwin, setelah ia meminta kebenaran terlebih dahulu, sehingga kedua-duanya memperolehi pahala daripada Allah SWT.   


        Firman Allah SWT ertinya:


        " Adapun orang yang memberikan hartanya di jalan Allah dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah."
                                                                                                                                   (Al-lail : 5-7)


        Jauhilah diri daripada sifat bakhil, kerana sifat ini akan merugikan diri kita sendiri. Alangkah ruginya mempunyai sifat yang buruk ini, sebab setelah kita meninggalkan dunia segala harta dan kekayaan kita akan lenyap dan binasa, tidak akan kita bawa bersama di dalam kubur. Tetapi jika sedekahkan kepada yang berhak menerimanya, maka kita akan memperolehi paha daripada Allah SWT.

        Firman Allah SWT ertinya:

        " Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar. Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa."
                                                                                                                                                                                           (Al-Lail : 8-11)    

    5. Lebih Mengutamakan orang lain

       Mengutamakan orang lain daripada diri sendiri, merupakan keperibadian yang baik, asal saja tidak mengabaikan keperluan asas untuk diri sendiri. Keperluan anak-anak, suami, mahupun ayah dan ibu, semuanya itu merupakan ibadah dan akan memperolehi pahala daripada Allah SWT.

       Sifat lebih mementingkan orang lain ini merupakan akhlak para solehin dan siddiqin, perkara dijelaskan Allah dalam firmanNya:

       " Dan mereka mengutamakan ( orang-orang Muhajirin ) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kebakhilan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung." 
                                                                                                                                                                                                            (Al-Hasyr: 9)

    6. Berbicara hanya yang baik

        Lebih baik diam daripada berbicara yang tidak baik. Rasulullah SAW bersabda:

        " Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari kemudian hendaklah ia berkata yang baik ataupun ia diam" 
                                                                                                                                   (Riwayat Bukhari)


        Terlalu banyak perkara-perkara yang baik dapat kita lakukan ketika duduk bersama-sama teman ataupun seorang diri, seperti berzikir, beristighfar, berbincang perkara yang bermanfaat dan sebagainya. Sebaliknya hilangkanlah kebiasaan suka mengumpat, memfitnah, menceritakan aib orang lain, bertengkar dan lain-lain. Melakukan sifat-sifat yang baik akan ,mendamaikan jiwa kita, sebaliknya melakukan kebiasaan yang buruk membuat hati menjadi keras.

    7. Berlaku adil dengan diri sendiri

       Berlaku adil terhadap diri sendiri iaitu berusaha untuk memenuhi keperluan diri kita, baik yang bersifat jasmani mahupun rohani. Keseimbangan antara memenuhi keperluan jasmani dan rohani akan membawa diri kita menjadi tenang dan tenteram. Jangan asyik memenuhi keperluan jamani seperti menmperindahkan rumah, membeli kelengkapannya, membeli pakaian baru, menyediakan makanan yang lazat-lazat dan sebagainya, sedangkan keperluan rohani diabaikan.Berikanlah rohani dengan santapan iman dan amal soleh, dengan cara banyak beribadah dan pergi ke tempat-tempat orang memberikan ilmu agama dan sebagainya.

         Firman Allah SWT:

        " SesungguhNya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan." 
                                                                                                                                     (An-Nahl: 128)

        Jika kita sanggup berlaku adil dengan diri sendiri, maka kita juga akan sanggup berbuat adil terhadap keluarga dan lingkungan kita.

    ANDAKAH MUSLIMAH ITU?


    INDAHNYA WUDUK

    HUKUM WUDUK

    Hukum wuduk adalah seperti berikut:

    1. Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka'bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Quran dan sebagainya.
    2. Sunat. banyak perkara yang disunatkan berwuduk, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Quran, membaca atau mendengar bacaan hadis, membawa kitab tafsir, kitab hadis atau kitab fiqh, mwlakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di Arafah, melakukan sa'i, menziarahi makam Rasulllah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan memperbaharui wuduk. 
    HIKMAH WUDUK


    Hikmah berwuduk ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.

    FARDHU WUDUK

    1. Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wuduk adalah seperti berikut:
           

    نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ اللأَصْغَرِ لِلهِ تَعَالَى

               Maksudnya: 
              "Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala".
            

              atau




     نَوَيْتُ الوُضُوْءَ لِلهِ تَعَالَى


              Maksudnya:
             "Sahaja aku berwuduk kerana Allah Taala".

    2. Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.

    3. Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.

    4. Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.

    5. Membasuh dua kaki hingga ke buku lali.

    6. Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.

    SYARAT-SYARAT WUDUK

    Terdapat dua syarat dalam wuduk iaitu syarat wajib dan syarat sah.

    Syarat Wajib Wuduk

    1. Islam

    2. Baligh

    3. Berakal

    4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi

    5. Berlakunya hadas

    6. suci daripada haid dan nifas

    7. Kesempitan waktu. Wuduk tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu

    Syarat Sah Wuduk

    1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga bahagian yang tertinggal.

    2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wuduk.

    3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk seperti darah haid, nifas, air kencing dan seumpamanya.

    4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadas seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.

    Selain itu, terdapat beberapa syarat wuduk mengikut ulama'  mazhab Syafi'e, iaitu:

    1. Islam.

    2. Mumayyiz.

    3. Suci daripada haid dan nifas.

    4. Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.

    5. Mengetahui kefardhuan wuduk.

    6. Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wuduk sebagai sunat.

    7. Menghilangkan najis aini yang terdapat pada bahan dan pakaian orang yang berwuduk.

    8. Tidak terdapat pada anggota wuduk bahan yang menghalang air sampai ke kulit.

    9. Tidak mengaitkan (ta'liq) niat berwuduk dengan sesuatu.

    10. Mengalirkan air ke atas anggota wuduk.

    11. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadas berterusan.

    12. Muwalat, iaitu berturutan.

     
     Jimatkan pengunaan air

    SUNAT WUDUK

    Perkara sunat ketika berwuduk adalah sangat banyak, di antaranya ialah:

    1. Membaca "basmalah" iaitu lafaz BISMILLAHIRROHMANIRRAHIM.

    2. Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.

    3. Berkumur-kumur.

    4. Memasukkan air ke dalam hidung.

    5. Menyapu seluruh kepala.

    6. Menyapu dua telinga.

    7. Menyelati janggut yang tebal.

    8. Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.

    9. Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.

    10. Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.

    11. Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.

    12. Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.

    13. Menggosok anggota wuduk supaya lebih bersih.

    14. Bersugi dengan sesuatu yang kesat.

    15. Menghadap kiblat.

    16. Membaca doa selepas berwuduk 'iaitu:

    Maksudnya:
    "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.

    PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDUK

    1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

    2. Tidur yang tidak tetap punggung, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

    3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.

    4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyah (bukan mahram) walaupun telah mati.

    5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.

    6. Murtad, iaitu keluar dari agama Islam.



    KELEBIHAN BERWUDUK

    1. Dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

    2. Dapat menyucikan jiwa dan memberikan ketenangan.

    3. Menjaga kebersihan kulit daripada habuk dan kekotoran.

    4. Dapat melakukan ibadah dengan sempurna.

    5. Mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    6. Mendisiplinkan diri mengikut peraturan  apabila mengambil wuduk mengikut tertib ( yang dahulu didahulukan, yang kemudian di kemudiankan ).




    Membaca dan mempelajari al-Quran


    Solat


    LATIHAN:

    Jawab semua latihan di bawah.

    1. Sebutkan anggota-anggota wuduk.

    2. Hafaz lafaz niat wuduk.


    3. Tulis semula lafaz niat wuduk.

    4. Senaraikan rukun wuduk mengikut tertibnya.

    5. Apakah kelebihan berwuduk?